Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, berkata bahawa dia telah melupakan kekalahannya dalam final Sukan Malaysia (Sukma) MSN baru-baru ini untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam bermula Selasa ini.

Jun Hao, yang mewakili Wilayah Persekutuan, tewas kepada jaguh Johor, Ng Tze Yong, dalam final acara perseorangan lelaki Sukma semalam.

Bekas juara Kejohanan Remaja Asia 2017 itu bermula baik apabila memenangi set pertama 21-18 tetapi dia tidak dapat menghalang kebangkitan Tze Yong dalam dua set berikutnya untuk lawan itu mencatatkan kemenangan 21-19, 21-12.

Dalam satu temu bual bersama wakil Astro Arena, Azlani Adani, dia berkata: "Memang saya rasa agak sayang kerana saya sudah berada dalam final dan memenangi set pertama tetapi pada akhirnya saya kalah, memang saya rasa agak sayang.

"Semalam sudah berakhir dan hari ini merupakan hari yang baru.

"Saya harap dapat memberikan yang terbaik di Vietnam minggu ini," katanya.