Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, bergelar naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Republik Czech selepas tewas kepada pemain tuan rumah, Jan Louda, dalam aksi final epik selama sejam 24 minit di Brno sebentar tadi.

Tze Yong mempamerkan aksi hampir sempurna untuk mudah memenangi set pertama 21-16.

Bagaimanapun, selepas mengikat kedudukan 11-11 dalam set kedua, dia seakan-akan hilang arah sehingga membenarkan lawan mendahului 17-11 sebelum akur dengan kekalahan 16-21.

Aksi paling sengit dipamerkan kedua-dua pemain dalam set penentuan sehingga mata perlawanan terikat 25-25.

Namun, Louda ternyata lebih tenang bagi mendapatkan tambahan dua mata berturut-turut untuk bergelar juara.



Semantara itu, dalam acara perseorangan wanita, pemain muda negara, Siti Nurshuhaini Azman, turut terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 'straight set' kepada pilihan kelapan dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani.

Pemain remaja berusia 17 tahun itu bermula baik untuk mengimbangi aksi yang dipamerkan lawan ketika terikat 3-3 tetapi peningkatan rentak permainan daripada Putri Kusuma menyaksikan wakil negara itu terpaksa akur dengan kekalahan 16-21.

Aksi dalam set kedua pula jelas milik lawan dari Indonesia berkenaan, yang menamatkan saingan selama 31 minit itu dengan kemenangan mudah 21-5 untuk bergelar juara.



*Kredit foto: BAM