Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Republik Czech selepas menewaskan pemain Indonesia, Krishna Adi Nugraha, di Brno sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, Tze Yong bermula cemerlang apabila memenangi set pertama dengan jurang besar 21-9.

Aksi lebih sengit di tampilkan lawan dalam set berikutnya tetapi Tze Yong tenang mengekalkan fokusnya untuk menamatkan saingan selama 32 minit itu dengan kemenangan 21-18 dalam set kedua.

Dengan kemenangan itu, perseorangan berusia 21 tahun berkenaan akan berdepan wakil Singapura, Jason Teh, dalam perebutan tempat ke final esok.



Sementara itu, dalam acara wanita pula, perseorangan muda negara, Siti Nurshuhaini Azman, turut menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara, K. Letshanaa, dalam aksi tiga set.

Siti Nurshuhaini, 17, bermula baik apabila memenangi set pertama 21-16 tetapi tewas dengan keputusan sama kepada Letshanaa, 18, dalam set berikutnya.

Siti Nurshuhaini ternyata lebih unggul dalam set penentuan untuk menamatkan saingan selama 41 minit itu dengan kemenangan 21-6.

Seterusnya, pemain remaja negara itu akan berdepan perseorangan India, Ananya Praveen, untuk ke final.