Hasrat perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Indonsia tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, Zii Jia memulakan pertarungan dengan cemerlang untuk mematahkan setiap asakan Axelsen sebelum menang 21-19 dalam set pertama.

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu seakan-akan hilang fokus dan membenarkan lawan dari Denmark berkenaan menang mudah 21-11 dalam set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

Aksi dalam set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling berkejaran mata dan Zii Jia pada satu ketika mendahului 12-9.

Bagaimanapun, pukulan-pukulan ke garisan belakang kerap menjerat wakil negara itu sehingga ketinggalan 16-20.

Zii Jia kemudian mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk meraih lima mata berturut-turut dan mendahului 21-20 tetapi dia membenarkan Axelsen ke final dengan memungut tiga mata terakhir.