Perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia, berjaya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Australia apabila menundukkan pemain tuan rumah, Rio Agustino, sebentar tadi.

Beraksi di Pusat Quay, Sydney pemain dari Alor Setar, Kedah itu cuma mengambil masa selama 25 minit untuk mengenetikan cabaran Agustino 21-9, 21-11.

Menanti Zii Jia di pusingan seterusnya ialah pemain China, Lu Guang Zu, yang menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto, 21-18, 21-17.

Pemain nombor dua dunia itu dalam misi mengumpul mata untuk menempah slot Final Jelajah Dunia di Arena Nimibutr, Bangkok pada 7 hingga 11 Disember ini.

Sementara itu, Goh Jin Wei menewaskan wakil India, Tanya Hemanth, 21-15, 21-16 dalam tempoh 31 minit dalam aksi perseorangan wanita.

Gandingan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut menggembirakan kem negara apabila mara ke pusingan seterusnya.

Pasangan negara itu menewaskan gandingan Australia, Adam Jeffrey-Dylan Soedjasa, 21-12, 21-15.

Nasib berbeza buat pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei, yang kalah kepada atlet Jepun, Kento Nishimoto 21-17, 21-14.

Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong, tiada masalah untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Australia selepas menundukkan wakil tuan rumah, Jacob Schueler dalam aksi straight set.

Tidak bertemu dalam mana mana kejohanan sebelum ini, Tze Yong berada di prestasi tersendiri.

Jurang kualiti menyaksikan kelebihan memihak Tze Yong yang berada tangga ke-33 dunia sementara Schueler ke-329 dunia.

Set pertama, Tze Yong dominan mengkaji pergerakan lawannya sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-13.

Biarpun Schueller mencuba di set kedua, namun tidak berjaya apabila Tze Yong akhirnya menamatkan cabaran dengan keputusan 21-15.

Hanya 38 minit diperlukan Tze Yong untuk teruskan melangkah bertemu pemain Korea Selatan, Heo Kwang-hee di pusingan kedua esok.