Rafael Nadal berkata memenangi perlawanan merupakan sesuatu yang sempurna untuk mengatasi masalah kecederaannya selepas memulakan Kejohanan Tenis Terbuka Australia dengan kemenangan ke atas Jack Draper semalam.

Pemain pilihan utama itu mempamerkan kelas tersendiri di Arena Rod Laver, di mana dia meraih kemenangan 7-5, 2-6, 5-4, 6-1 dalam masa tiga jam dan 43 minit, sekali gus mara ke pusingan kedua kejohanan itu buat kali ke-17 sepanjang kariernya.

Pemain berusia 36 tahun itu hanya beraksi sebanyak lapan kali sejak saingan Terbuka Amerika Syarikat pada September lalu.

Nadal bukan sahaja banyak menghabiskan masa untuk memulihkan kecederaannya, malah dia turut perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya sejak bergelar bapa pada Oktober lalu.

"Saya menikmati hidup saya dengan kedatangan ahli keluarga baru," katanya kepada wartawan.

"Saya sentiasa sukakan kanak-kanak. Untuk dapat menikmati momen baru ini dalam hidup saya merupakan sesuatu yang sangat indah.

"Tetapi daripada segi perasaan kompetitif dan motivasi, ia tidak mencipta sebarang impak. Ia hanya mencipta impak yang negatif jika saya perlu berada di sini selama sebulan dan mereka tidak dapat bersama saya di sini.

"Anda tidak tahu bagaimana anda akan memberikan reaksi. Saya sentiasa menghormati sebarang perubahan dalam hidup saya. Anda tidak tahu bagaimana anda akan menyesuaikan diri.

"Saya tidak tahu macam mana perasaan saya jika anak saya tidak berada bersama saya untuk sebulan. Saya tidak tahu jika selepas tiga minggu, saya akan merinduinya dan kehilangan sedikit fokus.

"Saya sentiasa teruja untuk bermain dalam setiap kejohanan. Pendekatan saya untuk kejohanan ini tidak banyak berubah, sama ada selepas menjadi bapa atau tidak," katanya.