Pemain tenis remaja, Christian Didier Chin, mengetuai cabaran negara ke pusingan ketiga perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Remaja, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Gred 4 di Kuala Terengganu, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan, Christian, 17, mara selepas mencatat kemenangan 6-1, 6-0 menewaskan wakil Belgium berusia 13 tahun, James Van Herzeele.

Kemenangan itu membolehkan Christian membuat perhitungan bertemu pemain Thailand, Kasidit Samrej, yang mengejutkan pilihan ke-15 dari Jepun, Taiyo Yamanaka, 6-3, 6-4.

Turut meneruskan kemaraan ialah pilihan ke-14, Darrshan Suresh, namun terpaksa bekerja keras untuk menang 3-6, 6-4, 6-2 ke atas pemain China, Wen Guanglin.

Tugas getir menantinya esok berdepan pilihan ketiga, Ryoma Matsushita dari Jepun, yang mengalahkan wakil Singapura, Aneish Jose Sawney, 6-0, 6-0.

Shamirul Shahril Mohd Adam Das yang beraksi pada sebelah pagi pula tidak berdepan masalah menyingkirkan Soma Yokoyama dari Jepun 6-3, 6-2.

Lawan akan dihadapi Shamirul Shahril dalam pusingan ketiga ialah pilihan kesembilan dari China, Lu Pengyu, yang menundukkan pemain Taiwan, Ting-Hao Hsu, 6-2, 6-2.

Acara perseorangan wanita menyaksikan Malaysia memiliki empat wakil ke pusingan ketiga, antaranya pilihan keempat, Uma Nayar, yang menang 7-5, 6-4 ke atas Dolavee Thumthong dari Thailand.

Adiknya, Sara Nayar, pilihan kelapan kejohanan turut mara selepas menyekat kemaraan wakil Russia, Anna Koltunova, 6-3, 6-4.

Satu lagi pasangan adik beradik, Syarifah Elysia Wan dan Syarifan Elsa Wan, juga mengesahkan slot ke pusingan berikutnya dengan mengejutkan dua pemain pilihan dari China.

Syarifah Elysia meneruskan kemaraan mengatasi pilihan ke-15, Wang Jingqi, 6-1, 6-3, manakala Syarifah Elsa menewaskan pilihan ke-16, Li Zongyu, 5-7, 6-1, 6-1.