Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, berharap corak permainan yang sama dapat dipamerkan oleh anak buahnya dalam perlawanan timbal balik kedua suku akhir menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi, Sabtu ini.

Cheng Hoe nyata berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC walaupun agak tumpul di bahagian serangan.

“Bagi saya sebagai jurulatih, saya sangat berpuas hati dengan komitmen para pemain dan sikap mereka juga bagus. Saya sangat gembira berada di sini untuk memperbaiki pemain.

“Corak taktikal memang saya mahu pemain kekalkan, memang menjadi tanda tanya kepada pasukan tetapi saya yakin pemain mampu mengekalkan corak tersebut ketika bermain di Negeri Sembilan.



“Jadi kami kena pergi dengan satu mindset positif kerana bekalan 2-0 bukan pasti untuk kami layak ke separuh akhir tetapi saya mahu pemain bijak mengatasi situasi tersebut kerana sudah tentu bukan senang bermain di Seremban nanti,” katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dalam aksi tersebut, Selangor kini selangkah untuk mara ke separuh akhir selepas menewaskan NSFC 2-0 pada suku akhir pertama malam tadi.

Gol-gol Selangor dijaringkan pemain import, Herlison Caion, pada minit ke-56 dan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada minit akhir perlawanan.


Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan, mengakui punca kekalahan pasukannya dalam perlawanan ini adalah disebabkan barisan pertahanan yang agak longgar selain pemain-pemainnya banyak memberi ruang kepada pemain Selangor FC melancarkan serangan.

“Saya nampak kami banyak memberi ruang kepada pemain tengahnya. Saya nampak pertahanan kami kurang baik dalam separuh masa pertama.

“Dalam separuh masa pertama, saya mengakui Selangor lebih baik daripada pasukan Negeri Sembilan FC. Kami banyak bertahan dan kami tidak dapat mengawal permainan dan kurang agresif.

“Titik tolak yang sangat penting dalam perlawanan ini apabila kami lepaskan satu gol, kemudian kami bermain dengan 10 orang,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian