Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, mengingatkan anak buahnya agar tidak berada dalam zon selesa meskipun bakal berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Sabtu ini, dengan bekalan dua gol.

Negeri Sembilan tempang dalam pertembungan pertama suku akhir Piala Malaysia, kelmarin, apabila terpaksa mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain akibat kad merah Herold Goulon.

Cheng Hoe, bagaimanapun, menganggap ketiadaan tonggak import itu bukan satu kelebihan buat pasukannya.

"Ketika Herold Goulon tidak diturunkan beberapa perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan nampak tetap utuh dan teratur.




"Pada tahun ini, mereka akan kekuatan di bahagian pertahanan dan dalam masa sama, mempunyai banyak pilihan dalam skuad," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Sehubungan itu, tumpuan Gergasi Merah yang kembali berlatih di Shah Alam hari ini termasuklah aspek kekuatan mental.

"Pemain perlu fokus dalam perlawanan dan kami tidak mahu insiden seperti kad merah.

"Pemain kena bijak situasi perang psikologi berikutan kehadiran penyokong yang ramai di Paroi dan provokasi pemain lawan.

"Jadi beberapa hari ini penting untuk persiapan ke Paroi nanti," katanya lagi.