Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, tidak berniat untuk merehatkan pemain utamanya menjelang pertemuan aksi timbal balik kedua Piala Malaysia menentang Kelantan United, malam ini.

Menurut Cheng Hoe, beliau tidak melihat ia satu keperluan buat dirinya untuk merehatkan pemain utama memandangkan perlawanan menentang Kelantan United merupakan aksi penting dan perlu dimenangi anak buahnya.

Dia berkata, bekalan dua jaringan yang dibawa daripada Kelantan tempoh hari bukanlah tiket untuk pemainnya berasa selesa, sebaliknya perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan anak buah Nazrulerwan Makmor itu.

"Untuk perlawanan menentang Kelantan United, saya akan turunkan kesebelasan utama yang terbaik meskipun pasukan ada kelebihan dengan dua jaringan.

“Bagi saya semua perlawanan itu penting dan tidak boleh diambil mudah begitu sahaja. Malah saya juga mahu mengekalkan momentum yang dimiliki pasukan ketika ini,” katanya.




Dalam perlawanan pertama Piala Malaysia minggu lalu, skuad Gergasi Merah membawa dua bekalan gol selesa apabila menewaskan Kelantan United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV menerusi dua gol Herlison Caion.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan status pasukannya menjelang aksi menentang Kelantan United, Cheng Hoe memberitahu beberapa pemain utamanya yang digantung dan cedera sudah bersedia untuk diturunkan.

“Dalam latihan semalam, ada satu atau dua pemain yang saya lihat sedikit bergelut dengan kecederaan antaranya ialah Baha.

“Jadi dia akan buat pemeriksaan dengan pasukan perubatan kita untuk mengetahui sama ada cergas untuk diturunkan atau tidak.

"Pemain lain semuanya cergas termasuklah Shahrul Nazeem yang sudah menghabiskan tempoh penggantungannya sebelum ini,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian