Tan Cheng Hoe memohon bantuan daripada kelompok besar penyokong Selangor FC dalam memastikan kebangkitan pasukan Gergasi Merah itu sebaik diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad utama pasukan itu bermula musim depan.

Cheng Hoe secara rasmi diumumkan sebagai pengendali baru Selangor dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Pelantikan itu menamatkan spekulasi mengenai individu yang akan membimbing pasukan gergasi Lembah Klang itu sejak Michael Feichtenbeiner dilepaskan daripada jawatan berkenaan pada 9 Ogos lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, hari ini, Cheng Hoe berharap peminat setia Selangor akan utuh berada di belakangnya sepanjang proses kebangkitan yang direncanakannya buat kelab itu.

"Saya rasa semua penyokong perlu bersabar kerana kita tahu keputusan pada tahun ini agak tidak memuaskan tetapi dengan pemain-pemain sedia ada, saya rasa kita mampu untuk meningkat secara satu pasukan dalam setiap perlawanan.

"Peranan penyokong amat penting kerana seperti yang saya selalu katakan, mereka adalah pemain ke-12 dalam pasukan, jadi datanglah dan terus menyokong pemain Selangor," katanya.

Dalam pada itu, pengendali berusia 54 tahun berkenaan turut memberikan butiran terperinci mengenai hala tuju dan DNA Selangor di bawah bimbingannya sambil mengakui terdapat kebimbangan mengenai bahagian pertahanan pasukan itu.

"Sejak saya mengambil alih sebagai ketua jurulatih memang saya rasa cara permainannya akan bercorak menyerang dan sudah pasti dalam masa sama, pemain perlu berwaspada sewaktu bertahan kerana kita tidak mahu dibolosi gol.

"Itu adalah salah satu cara bola sepak moden ketika ini.

"Saya sudah mengikuti beberapa siri perlawanan Selangor FC dan saya tahu mereka memiliki pemain yang berkemampuan dari segi kualiti dan teknikal yang saya rasa akan cepat menyesuaikan diri dengan suasana taktikal dan corak permainan saya.

"Di samping itu, kami juga perlu bekerjasama selaku satu pasukan kerana dalam bola sepak tidak boleh hanya mengharapkan kepada individu sahaja, kami perlu bekerja keras sebagai satu pasukan," tambahnya.