Pertahanan sayap negara, Syahmi Safari, sah menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada Selangor.

Perkara itu diumumkan menerusi video pengenalannya dalam laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang sinonim dengan posisi pertahanan kanan, dilihat akan memberikan saingan buat seorang lagi pemain negara, Matthew Davies, di posisi itu.

Syahmi sah meninggalkan Selangor pada penghujung November lalu atas dasar persetujuan bersama dan teka-teki mengenai masa depannya akhirnya terjawab dengan pengumuman berkenaan.

Pemain serba boleh itu memulakan karier bola sepaknya di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2012 dan pernah memperkuatkan skuad Harimau Muda C dari 2013 hingga 2014.

Dia kemudian menyertai skuad senior Selangor pada 2017 dan melakukan penampilan pertamanya ketika menewaskan Pulau Pinang dan saingan Liga Super pada Februari tahun berkenaan.

Sepanjang bersama The Red Giants, dia telah mengumpulkan 11 gol daripada 80 penampilan sebelum memilih haluan berbeza musim ini.

Pemain kelahiran Kuala Selangor itu turut pernah memperkuatkan skuad senior kebangsaan sebanyak 23 kali dan mendaftarkan satu gol ketika menentang Thailand dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018.