Wakil perseorangan wanita Selangor, Siti Nurshuhaini Azman, merancang untuk terus menguji kekuatan mentalnya apabila perlu mengerah keringat untuk mara ke separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) MSN dengan menundukkan peserta Melaka, Siti Zulaikha Azmi, dalam pertarungan tiga set, sebentar tadi.

Set pertama menyaksikan Siti Nurshuhaini dengan penuh keyakinan mengawal perlawanan untuk menang 21-14.

Tetapi cerita berbeza dalam set kedua apabila Siti Zulaikha bangkit dengan menggunakan taktikal baru bagi mendominasi set itu 21-16.

Dalam set penentuan, pemain kebangsaan kelahiran Rawang berusia 18 tahun itu bermula dengan agresif dengan mengawal tempo permainan bagi memastikan kemenangan 21-13.

"Permainan saya macam semalam, ada rasa kekurangan dalam set kedua.

"Saya harap tahap permainan saya lebih baik dalam separuh akhir.

"Mungkin disebabkan rasa menuju kemenangan, saya ambil mudah dalam set kedua.

"Jadi saya perlu terus corak permainan," katanya.



Seorang lagi wakil Selangor, K. Letshanaa, melakar kejutan dengan mengalahkan pilihan kedua kejohanan, Myisha Mohd Khairul dengan keputusan straight set.

Letshanaa berdepan sengit oleh Myisha dalam awal set pertama tetapi kata-kata daripada jurulatih merangkap abangnya menjadi penyuntik semangat untuk bangkit mencipta kemenangan 23-21.

Set kedua menyaksikan pemain profesional itu lebih yakin dan selesa untuk menamatkan pertemuan berkenaan 21-13.

"Ini kejohanan pertama yang saya sertai selepas lapan bulan.

"Sudah tentu sukar untuk kembalikan rentak kejohanan.

"Jurulatih berpesan agar saya dapatkan gambaran permainan, kemudian saya mula perlahan-lahan dapat menjelmakannya," katanya.