Acara final keirin Sukan Malaysia (Sukma) MSN lelaki diselubungi kontroversi serta tangisan penuh kelegaan buat pelumba negara, Muhammad Ridwan Sahrom, di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, sebentar tadi.

Ia selepas wakil Johor itu akhirnya disahkan pemilik pingat emas yang hampir terlepas berikutan bantahan sebanyak dua kali oleh pelumba lain.

Kali pertama bantahan tercetus apabila Kedah dan Perak tidak puas dengan pelanggaran yang membabitkan atlet mereka.

Hasilnya, keputusan kedua menunjukkan kilauan pingat Ridwan bertukar kepada perak.

Begitupun, bantahan kali kedua dibuat pula oleh kontinjen Johor serta Perak menyaksikan keputusan akhir mengumumkan Ridwan sebagai juara, sementara naib juara milik Zulfahmi Aiman Zulkarnain dari Terengganu dan pelumba Kedah, Umar Hasbullah, meraih gangsa.

"Saya cukup kecewa dan sedih serta marah dengan keputusan ini. Saya tahu selaku pelumba profesional, saya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam perlumbaan, saya tertunggu-tunggu dalam keadaan marah, nama saya tiba-tiba tersingkir.

"Ketika berada di laluan saya, tiba-tiba ada pihak lawan mahu memasuki garisan merah saya.

"Sebaik terkena tujahan saya terus beredar sebab adalah berisiko kalau saya bertindak.

"Alhamdulillah kejayaan milik saya," katanya selepas perlumbaan.

Dalam masa sama, ketua jurulatih Johor, Junaidi Nasir, bangga kehadirannya merancakkan semula berbasikal trek kontinjen itu.

"Sejak dilantik pada 2009, saya telah meletakkan untuk mengembalikan Johor sebagai kuasa besar dalam sukan berbasikal selepas diambil oleh Terengganu," katanya.