Pesanan jurulatih menjadi azimat buat atlet lompat tinggi wanita Perak, Ngu Jia Xin, untuk membuktikan kehebatannya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi edisi 2018 hari ini.

Jia Xin berkata, jurulatih lompat tinggi kebangsaan, Alexander Gasparyan, mengingatkannya untuk meraih pingat dalam acara itu, lantas dia menyahut cabaran tersebut dengan penuh semangat dan ia membuahkan hasil.

"Dapatkan pingat hari ini (Jumaat)," katanya kepada Sinar Harian selepas acara itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Atlet kelahiran Pantai Remis itu berjaya melakukan lompatan 1.70 meter (m) sekali gus menewaskan pencabar lain untuk memastikan emas dalam genggaman.

Pingat perak pula diraih atlet Terengganu, Tuan Juliana Tuan Hassan (1.65m) manakala gangsa menjadi milik Melissa Choong En Xuan dari Pulau Pinang menerusi catatan 1.60m.

Jia Xin memberitahu, pencapaian itu bukan terbaik buat dirinya kerana sebelum ini dia pernah mencatat rekod peribadi 1.79 m tiga tahun lalu.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata, Sukma menjadi medan terbaiknya memperbaiki rekod bagi memastikan dia layak untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun depan.

"Ini bukan pencapaian terbaik, namun saya gembira mampu merealisasikan impian jurulatih (Gasparyn) yang mahukan pingat emas pada Sukma 2022.

"Ini adalah penyertaan terakhir saya di Sukma kerana sudah melebihi umur dan berharap mampu memperbaiki pencapaian kerana matlamat adalah mahu beraksi di Sukan SEA tahun depan," jelasnya.

kredit: Sinar Harian