Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan menukar peraturan di mana kesemua atlet daripada satu kontinjen dilarang bersaing di Sukan Malaysia (Sukma) kali ini, jika salah seorang daripada mereka gagal ujian doping.

Laporan keputusan ujian bagi semua atlet yang akan mengambil bahagian di Sukma akan dikeluarkan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, tidak mahu mengambil risiko meringankan peraturan sebegini dalam usaha mencuci nama sukan angkat berat yang telah terpalit dengan banyak kes doping sebelum ini.

Pertandingan angkat berat di Sukma ke-20 ini akan berlangsung dari 19 hingga 22 September, bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.

"Kami berharap keputusan yang dikeluarkan ADAMAS setiap atlet bersih daripada sebarang penggunaan barang terlarang. Kami telah memberikan peringatan berulang kali mengenai isu doping ini," kata Ayub.