Atlet wushu Melaka, Bryan Ti Kai Jie, melakar kejutan apabila meraih pingat emas dalam acara nanquan sekaligus menewaskan juara dunia 2019.

Bryan berkongsi bahawa penat lelah yang dilalui sepanjang tahun ini akhirnya dibalas dengan kejayaan.

"Terdapat kecederaan sebelum ini dan pihak perubatan menasihatkan saya untuk berehat. Saya sangat gembira kerana berjaya meraih pingat emas dalam Sukma kali ini," katanya.

Itu perkongsian Bryan setelah berjaya memungut sebanyak 9.59 mata untuk dinobat juara nanquan.

Atlet berusia 18 tahun itu harap kejayaan itu mampu membantunya untuk menyertai kem kebangsaan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, ia cerita berbeza buat juara dunia 2019, Chuah Shangyang, yang kurang menyerlah apabila hanya meraih sebanyak 9.28 mata.

Sekaligus meletakkan wakil Pulau Pinang itu di tangga kelapan daripada 22 atlet yang bertanding.

"Terdapat beberapa kesilapan ketika membuat pemanas badan. Saingan Sukma amat baik kerana ramai atlet yang mampu menghadirkan persembahan yang cemerlang," kata Chuah.