Dua atlet Terengganu yang gagal dalam ujian doping sebelum ini berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan ketika menjalani latihan pusat di Cameron Highlands pada Ogos lalu sebagai persiapan ke Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustafa, menjelaskan kedua-dua atlet tersebut terpaksa mengambil ubatan yang dibeli di sebuah farmasi di Cameron Highlands selepas salah seorang daripada mereka mengalami lelah dan juga kecederaan bahu.

“Atlet gagal dalam ujian doping itu ketika menjalani latihan di Cameron Highlands dan salah seorang daripada mereka mengalami lelah, maknanya dia terpaksa mengambil ubat.

“Bila kami tahu mereka positif doping, kami lihat jenama ubatan yang mereka ambil terdapat bahan yang menyebabkan mereka gagal doping.

“Bahan tersebut menyebabkan lubang pernafasan mereka terbuka dan dalam peraturan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), ia antara bahan yang dilarang. Jadi, kami menyedari kesilapan tersebut.

“Sebenarnya, atlet mengambil ubatan tersebut untuk kesihatan tetapi masyarakat di luar sana melihat atlet kami ambil dadah tetapi bukan. Saya akui dua atlet tersebut kecewa kerana mereka melakukan persiapan selama empat tahun untuk ke Sukma edisi ke-20 ini dan lebih sedih, ini adalah penampilan terakhir mereka,” katanya.

Semalam, tiga atlet daripada dua negeri, iaitu Terengganu dan Perlis, terlibat dengan penggunaan bahan terlarang, sekali gus memaksa Perekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengundurkan diri daripada Sukma 2022 berdasarkan ketetapan yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM sebelum ini.

Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan ataupun persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan juga atlet lain dalam ahli gabungan mahupun persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung daripada Sukma 2022.

Dalam pada itu, Shafaruddin turut mengakui pihaknya akur dengan keputusan yang dikeluarkan ADAMAS dan tidak mahu menguji sampel B.

“Kami telah jelaskan jenis ubat yang mereka ambil dan tiada keperluan untuk menguji sampel B.

"Atlet juga di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) jadi saya harap akan ada perbincangan seterusnya demi masa depan atlet ini,” tambahnya.

Kredit: Sinar Harian