Skuad sepak takraw negara terlepas pingat emas acara beregu sepak takraw Sukan SEA Hanoi 2021 selepas tewas 1-2 kepada Indonesia dalam aksi final di Gimnasium Hoang Mai sebentar tadi.

Membariskan Aidil Aiman Azwawi selaku kapten selain Noraizat Nordin dan Afifudin Razali, skuad negara tewas tipis kepada Muhammad Hardiansya, Saiful Rijal dan Rusdi dari Indonesia.

Gandingan Aidil Aiman dan Noraizat kelihatan bergelut dalam set pertama sambil Afifudin turut diturunkan untuk membantu mengejar mata sebelum pasukan negara tewas 17-21.

Bagaimanapun, Aidil Aiman dan Noraizat mempamerkan aksi lebih baik dalam set kedua untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 22-20.

Beregu negara itu mendominasi lebih separuh set penentuan dan sentiasa berada di depan tetapi kecederaan yang dialami Noraizat membenarkan Indonesia bangkit mengejar di kedudukan 17-17.

Aksi kian sengit sehingga kedudukan terikat 23-23 tetapi Indonesia bernasib lebih baik untuk memenangi dua mata terakhir, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian sama dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017 selepas acara berkenaan tidak dipertandingkan di Manila tiga tahun lalu.