MALAYSIA 2 SINGAPURA 2

Skuad B-23 tahun negara mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 selepas terikat 2-2 dengan Singapura di Stadium Thien Truong, Nam Dinh sebentar tadi.

Jaringan Faiz Amer Runnizar pada lewat permainan memastikan Malaysia memperoleh satu mata penting dan hampir pasti melayakkan diri ke separuh akhir berbaki satu perlawanan.

Malaysia jelas pasukan yang lebih baik sejak daripada awal permainan dan kerap melakukan asakan berbahaya sebelum penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin, memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang lawan untuk membuka jaringan skuad negara seawal minit keempat.

Bagaimanapun, Singapura hanya memerlukan tiga minit untuk memeberikan respons, di mana Nur Muhammad Shah Shahiran melepaskan rembatan jarak jauh dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol negara, Azri Abdul Ghani.

Malaysia meneruskan penguasaan dalam babak kedua sambil Singapura kerap mengintai peluang serangan balas pantas.

Aksi lebih fizikal dipamerkan kedua-dua pasukan menuju ke penghujung permainan dan menerusi satu gerakan 'set-piece', Singapura buat kali pertama berada di depan pada minit ke-78 selepas Harhys Stewart menolak masuk bola sepakan percuma Nur Muhammad Shah.

Walaupun berdepan beberapa situasi panas disebabkan provokasi pemain lawan, skuad muda negara kekal bersemangat memburu gol penyamaan dan hasilnya, Faiz menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-82, sekali gus memastikan satu mata dipungut Harimau Malaya dalam perlawanan kali ini.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata manakala Singapura pula berada di tangga kedua dengan lima mata.

Pemenang perlawanan di antara Thailand dan Kemboja malam ini akan memintas Singapura di tangga kedua memandangkan pasukan Seberang Tambak itu telah menghabiskan kesemua empat perlawanan.