Presiden Persekutuan Sukan SEA (SGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, meminta Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) mengenakan harga tiket paling minimum untuk temasya itu, Ogos depan, bagi menarik rakyat Malaysia membanjiri venue pertandingan.

Beberapa acara seperti bola sepak, badminton, hoki, sepak takraw dan olahraga dijangka menerima sambutan hangat peminat tempatan.

Itu tidak termasuk upacara pembukaan dan penutup yang mampu menarik hampir 100,000 penonton ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Polisi utama adalah untuk memastikan harga tiket berpatutan dan kebanyakan kejohanan boleh disaksikan dengan percuma.

"Keutamaan kejohanan ini adalah untuk memastikan ramai rakyat Malaysia dapat menyaksikannya dan bukan untuk mengaut keuntungan," katanya.

Dalam edisi lalu di Singapura, beberapa acara seperti upacara pembukaan, penutup, lawan pedang, bola tampar, renang dan wushu habis dijual seminggu sebelum temasya bermula.

Harga tiket pula berbeza dalam upacara pembukaan dengan mengenakan bayaran di antara RM35 hingga RM185.

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Penyiaran SGF bersetuju untuk mengenakan yuran penyertaan berjumlah USD5,000 (RM21,400) kepada stesen televisyen daripada enam negara.

Stesen penyiaran rantau ini menerima baik cadangan SGF itu untuk mengenakan yuran penyertaan dengan harga berpatutan walaupun ia diperkenalkan buat kali pertama.

Ia bagi menjamin kualiti penyiaran untuk tontonan lebih 600 juta penduduk Asia Tenggara selain memartabatkan temasya dwi-tahunan itu.

Terdahulu, Kuala Lumpur 2017 menerima kereta rasmi bagi pengunaan temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 daripada pihak NAZA.

Sebanyak 18 buah kereta diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan baki 280 buah kenderaan akan diserahkan kepada MASOC pada tarikh lain.

Turut diadakan promosi pertandingan kepada orang awam bagi memenangi 100 tiket percuma kepada 50 pemenang bagi menghadiri upacara pembukaan Sukan SEA, Ogos ini.