Irfan Shamsuddin gagal menepati ramalan untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turkiye, apabila menamatkan acara lempar cakera di tempat keenam daripada 10 pencabar utama semalam.

Dia melakar catatan 59.37m menerusi balingan pertamanya dan hanya menyempurnakan dua lontaran daripada baki aksi sambil peserta dari Kuwait, Essa Al-Zenkawi, muncul juara dengan catatan 62.03m.

Atlet Program Podium itu kemudian mendedahkan kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis, bahawa kerahan kudrat mula "memakan dirinya" sejak Sukan Komanwel Birmingham, minggu lalu.

Justeru, pemenang lima emas Sukan SEA itu terpaksa akur hasil hambar dua temasya utama.

Irfan yang sering lantang bersuara mengenai keutamaannya untuk mendapatkan program latihan terbaik demi capai aspirasi dalam kejohanan utama menjelaskan kecederaan di bahagian tulang rusuk kanannya menjadi penghalang untuknya membuktikan keupayaan bahawa masih relevan di peringkat antarabangsa.

"Sebenarnya saya bersemangat untuk mendapatkan medal emas di sini, orang pun sudah letakkan saya sebagai peserta pilihan.

"Tapi tulang rusuk saya tertarik, ia kecederaan lama dan disebabkan saya terus beraksi, ia makin teruk.

"Apa pun saya masih boleh buat baling 59.37m dalam keadaan ini," katanya.


Menurutnya lagi mengenai kecederaan yang melandanya itu: "Sebenarnya saya dilanda kecederaan ini ketika berlatih, beberapa hari sebelum Sukan Komanwel.

"Saya sudah rasa terlalu kerahkan bahagian itu, tiada masalah dan teruskan beraksi.

"Semburan (tahan sakit) saya pun sudah habis rasanya tadi.

"Ia kejohanan yang baik, cuma saya akan kembali dengan keadaan yang lebih baik sebab setiap lontaran rasa gigit, tidak boleh buat apa.

"Gerakan, posisi, dan ledakan semua OK tapi apabila saya cuba lepaskan, hembus bahagian itu tarik.

"Balik ini saya akan jumpa ahli fisioterapi."