Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dengan penuh berat hati mengumumkan bahawa mereka telah mengaku kalah dalam pemburuan tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo hujung Julai depan.

V Shem, yang pernah meraih pingat perak bersama Wee Kiong dalam edisi di Rio, Brazil pada 2016, berasakan adalah mustahil untuk mereka layak ke temasya itu memandangkan hanya berbaki dua kejohanan kelayakan.

Pasangan profesional negara itu kini berada di ranking ke-14 kelayakan dan ketinggalan hampir 10,000 mata kepada satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di tangga kesembilan.

Berdasarkan syarat kelayakan, jika sesuatu negara mahu memiliki dua wakil dalam satu acara, kedua-dua wakil itu perlu berada dalam kelompok lapan teratas dan ia situasi yang amat mustahil untuk dilakukan V Shem dan Wee Kiong dalam waktu terdekat ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, V Shem berkata: "Saya rasa ia bukan sahaja sukar tetapi kami mungkin sudah tiada peluang untuk layak kerana daripada segi mata, kami memang tidak cukup.

"Sebelum ini sepatutnya ada Kejohanan Terbuka India, jadi kami masih ada tiga kejohanan dan saya rasa kami masih ada peluang untuk menduduki kelompok lapan teratas.

"Tetapi kini Terbuka India sudah dibatalkan dan hanya tinggal Terbuka Malaysia dan Singapura, jadi saya rasa ia sudah menjadi amat sukar.

"Perasaan rugi itu pasti ada tetapi saya dan Wee Kiong sudah melakukan yang terbaik," katanya.