Skuad badminton Malaysia tidak mengalami sebarang masalah ketika membuka acara masing-masing dalam Sukan Komanwel Birmingham, awal pagi tadi.

Selepas memenangi acara berpasukan campuran, kebanyakan pemain Malaysia memulakan kempen individu mereka awal pagi tadi yang menyaksikan mereka lolos ke pusingan 32.

Dalam bahagian beregu wanita, hanya Lai Pei Jing-Cheah Yee See beraksi apabila mudah menumpaskan Sabrina Charllene Scott-Tamisha Janelle Williams dari Barbados 21-5, 21-6.

Pei Jing akan meneruskan tugasnya dalam beregu campuran hari ini apabila bergandingan di samping Tan Kian Meng ketika menewaskan wakil Mauritius, Tejraj Pultoo-Ganesha Mungrah, 21-5, 21-8.

Begitu juga Yee See yang bergandingan dengan Chan Peng Soon untuk menewaskan Andy Kwek-Jin Yujia dari Singapura 21-8, 21-13.

Di bahagian perseorangan, Ng Tze Yong melanjutkan kemenangan peribadinya di Birmingham kepada tujuh perlawanan dengan menewaskan pemain Pakistan, Irfan Bahtti, 21-10 21-9.

Kemenangan paling memberangsangkan kontinjen Malaysia hari ini adalah menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei, ketika menentang pemain Ghana, Cindy Tornyenyor.

Pemain berusia 22 tahun itu sekadar membenarkan lawannya memungut empat mata dalam dua set ketika 21-3, 21-1.

Chan Peng Soon-Tan Kian Meng juga melepasi halangan gandingan Mauritius, Aatish Lubah-Julien Paul, apabila menang 21-12, 21-11.