Pearly Tan dan M. Thinaah menutup kempen kontinjen Malaysia dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan kilauan pingat emas selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Chloe Birch-Lauren Smith, dalam final acara beregu wanita di Dewan NEC 5 sebentar tadi.

Beregu di ranking ke-11 dunia itu tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 21-5, 21-8, sekali gus memastikan skuad badminton negara mengatasi sasaran satu pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya itu.

Ia memberikan kegembiraan berganda selepas pasangan berkenaan turut membantu skuad negara meraih pingat emas acara berpasukan campuran pada Rabu lalu.

Kejayaan itu juga menyaksikan pasukan badminton negara mengulangi pencapaian dua pingat emas yang diraih dalam edisi di Gold Coast pada 2018.

Sebagai rekod, kontinjen negara hanya meletakkan sasaran enam pingat emas dalam temasya di Birmingham kali ini tetapi pingat emas terbaru yang dimenangi Pearly dan Thinaah menyaksikan Malaysia menamatkan kempen dengan tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa.