Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, mempamerkan aksi terpuji sebelum tewas kepada pemain nombor 10 dunia dari India, Lakhsya Sen, dalam final acara badminton perseorangan lelaki Sukan Komanwel Birmingham 2020 di Dewan NEC 5 sebentar tadi.

Biarpun tidak diletakkan harapan yang besar dalam saingan itu, Tze Yong mencipta sensasi apabila layak ke final acara individu berkenaan dengan menumbangkan beberapa nama besar, antaranya juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, dan jaguh India, Srikanth Kidambi.

Selepas membantu skuad negara memenangi pingat emas dalam acara berpasukan campuran pada Rabu lalu, Tze Yong berpeluang meraih emas kedua peribadi dalam penampilan pertamanya dan pemain di ranking ke-42 dunia berusia 22 tahun itu bermula baik untuk memenangi set pertama 21-19.

Bagaimanapun, Sen mula memperkemas aksi dalam set kedua dengan variasi pukulan yang kerap memerangkap Tze Yong untuk menang mudah 21-9, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tze Yong memberikan saingan sehabis mungkin dalam set ketiga tetapi beberapa kecederan di tangan dan lutut menyaksikan pergerakannya terbatas sehingga terpaksa akur membenarkan Sen memenangi pingat emas dengan kemenangan 21-16.