Raheem Sterling "terbuka" untuk meninggalkan Manchester City demi mendapatkan lebih waktu permainan.

Pemain berusia 26 tahun itu membintangi aksi cemerlang England dalam Euro 2020, di mana dia menjaringkan tiga gol dan mendaftarkan satu bantuan jaringan dalam membawa The Three Lions ke final sebelum ditewaskan Itali menerusi penentuan sepakan penalti.

Walaupun Sterling mempamerkan prestasi kukuh bersama skuad negaranya, pengurus di peringkat kelab, Pep Guardiola, jarang menurunkan pemain sayap itu, di mana dia hanya beraksi sebanyak 274 minit dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan hanya dua daripada tujuh penampilannya sebagai kesebelasan utama.

Sterling kini sudah mula berani meluahkan keinginannya untuk mencari cabaran baru, di mana kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini dan kelihatan lebih berminat untuk beraksi di luar negara jika keadaan di City tidak menjamin masa depannya.

Dia berkata kepada Financial Times: "Jika ada pilihan di tempat lain untuk saya mendapatkan lebih waktu permainan, saya akan terbuka mengenainya.

"Seperti yang saya katakan, bola sepak merupakan perkara terpenting buat saya.

"Cabaran buat diri saya telah ditetapkan sejak saya masih muda dan begitu juga impiannya.

"Sebagai seorang pemain Inggeris, apa yang saya tahu hanyalah mengenai EPL dan saya sentiasa fikirkan bahawa mungkin satu hari nanti saya akan bermain di luar negara.

"Kita akan lihat bagaimana saya akan menghadapi cabaran itu," katanya.

Bagaimanapun, kecederaan kaki yang sedang dialami Ferran Torres mungkin memaksa pemain Sepanyol itu berehat lebih daripada enam minggu, sekali gus membuka kembali peluang Sterling untuk berada dalam kesebelasan utama.