Liverpool terus terindu-rindukan Sadio Mane, Manchester City memuncak awal dengan penyertaan Erling Haaland sambil Tottenham Hotspur turut menyerlahkan harapan besar dengan Son Heung-min sudah menamatkan kemarau jaringan.

Meneruskan papran kad laporan The Daily Mail terhadap pasukan-pasukan selepas tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), tumpuan bagaimanapun tidak terhindar daripada Manchester United, yang tidak berlengah mempamerkan kebangkitan selepas permulaan mencemaskan di bawah pengamatan Erik ten Hag.

Tersepuk di tangga kelapan dengan hanya sembilan mata, jelas tidak menepati resmi Liverpool – seakan-akan masih terbawa-bawa dengan kegagalan mendakap trofi EPL dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada penghujung musim lalu.

The Reds, malah, memerlukan empat perlawanan untuk mengecap kemenangan sulung susulan keputusan seri mengecewakan menentang Fulham dan Crystal Palace selain tersembam 1-2 di Old Trafford, 23 Ogos lalu

Kerakusan membelasah Bournemouth 9-0 dan kemenangan tipis 2-1 ke atas Newcastle kemudiannya cuma menawarkan kelegaan sementara sebelum diikat 0-0 oleh Everton dalam pertembungan maruah.




Seterusnya, melutut 1-4 kepada Napoli dalam UCL, segera mengundang andaian anak-anak buah Jurgen Klopp memang sedang bermasalah, tambahan kemenangan 2-1 ke atas Ajax kemudian adalah atas ihsan gol minit terakhir Joel Matip.

Sama ada mahu diakui atau tidak, jelas tidak mudah untuk mengisi tempat Mane yang sudah ke Bayern Munich, dengan Klopp masih tercari-cari gandingan terbaik buat Mohamed Salah dalam kalangan Roberto Firmino, Diogo Jota, Luis Diaz dan Darwin Nunez.

Ini mungkin musim paling mencabar buat Klopp di Anfield. Dalam pada itu, ia masih terlalu awal untuk menyisihkan mereka daripada perebutan kejuaraan.

Cuma, bezanya di mana Liverpool bergelut, gol-gol Haaland semakin memperlihatkan City sebagai “kuasa” yang sukar dibendung.

Sudah pun bermegah dengan 11 gol – hampir sekali ganda mengatasi pesaing terdekat, Harry Kane dan Aleksandar Mitrovic – ketajaman bintang Norway itu menjadi pelengkap buat City yang dominan serba-serbi.

Kevin De Bruyne memiliki rekod bantuan jaringan tertinggi, Rodri, Ruben Dias, Joao Cancelo dan Kyle Walker pula punya statistik pengumpan terbaik sambil penjaga gol, Ederson, tidak bolos dalam empat perlawanan.

Namun, keputusan seri di Newcastle United dan Aston Villa mendedahkan City belum sempurna dan di sinilah, Tottenham mungkin memiliki sedikit ruang untuk mencelah.




Antonio Conte tidak hanya mengubah nasib Spurs untuk kembali ke saingan UCL, malah memacu mereka untuk permulaan cemerlang – satu-satunya pasukan selain City yang masih kekal tanpa kalah selepas tujuh perlawanan.

Hatrik Heung-min ketika membelasah Leicster 6-2, hanya lima hari lalu, harus satu khabar gembira sambil penyokong The Lilywhites akan mengharapkan pembelian baru, Richarlison dan Yves Bissouma, terus memperkukuh pasukan.

Ujian sebenar bauat barisan Conte bakal menyusul bulan Oktober ini dalam kunjungan ke Arsenal, dan seterusnya pertemuan di Old Trafford akan menjadi pengukur peningkatan mereka.

Manchester United bagaimana? Tungguuuuu