Lucas Moura berasakan Tottenham sedang membina mentaliti kemenangan di bawah kendalian Antonio Conte selepas mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs melintasi Arsenal ke tangga kelima berikutan kemenangan 3-0 ke atas Norwich City.

Lucas membuka jaringan seawal minit ke-10 sebelum Davinson Sanchez dan Son Heung-min turut mencetak nama selaku penjaring sekaligus memastikan tiga mata buat Spurs.

Conte menjadi pengendali Tottenham ketiga yang memenangi setiap tiga perlawanan pembukaan EOK di tempat sendiri -- selepas Harry Redknapp dan Ryan Mason.

Pemain kelahiran Brazil itu percaya peningkatan mutu prestasi pasukan adalah bukti pengaruh pengendali dari Itali itu.



"Saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama saya dalam Liga Perdana musim ini," kata Lucas.

"Ia sangat semula jadi bagi saya; Saya cuba menggelecek dan apabila saya menemui ruang, saya memilih untuk melakukan percubaan.

"Saya berasakan bersama Tottenham, ini merupakan antara tiga gol terbaik saya. Saya tidak menjaringkan gol yang banyak seperti Son atau Harry, tetapi saya menjaringkan gol-gol yang cantik. Saya gembira dapat membantu pasukan."

Bercakap kepada Sky Sports News, Lucas berkata "Ia merupakan persembahan yang mantap. Saya fikir kami sedang membina mentaliti yang sangat baik dan hanya perlu meneruskan cara ini. Setiap hari, kami bekerja keras dan cuba menyampaikan apa yang Antonio minta daripada kami.

"Saya rasa gaya permainan kami sangat jelas; kami sangat agresif dengan intensiti yang tinggi dan saya rasa kami bermain dengan sangat baik."