Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl, berkata adalah menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat kelab gergasi seperti Chelsea melalui tempoh sukar ketika kedua-dua pihak bertemu malam esok.

The Blues tewas dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri sepanjang minggu lalu apabila tumbang 1-4 kepada Brentford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) disusuli 1-3 kepada Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Ia merupakan kali kedua mereka tewas berturut-turut musim ini dan sepanjang dikemudi Thomas Tuchel, mereka tidak pernah melalui pengalaman buruk sebegini.

Malah, Tuchel -- dilantik kelab London barat itu pada Januari 2021 -- telah mengendalikan rentetan perlawanan tanpa kalah terbanyak dalam kancah ini iaitu 48 kali.

Di sebalik prestasi goyah seteru mereka itu baru-baru ini, Hasenhuttl tetap menjangkakan pelawat akan berada di kemuncak prestasi ketika berkunjung ke St Mary's.

"Bagus untuk melihat pasukan besar kadang-kadang bergelut. Perkara buruknya ia tidak berlaku dengan kerap," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan malam tadi.





“Oleh kerana saya mengenali mereka termasuk cara mereka bekerja, Tuchel pasti akan bersikap kritis terhadap pasukannya dan akan cuba bertindak balas.

“Saya sentiasa menjangkakan lawan yang paling sukar, malah mampu memenangi perlawanan ini 3-0 dan ketika menentang Madrid dalam aksi seterusnya.

“Saya sedar perlawanan ini sangat penting bagi mereka, kami sentiasa menjadi lawan sukar buat mereka kerana bukan mudah untuk datang ke sini.

"Saya fikir ia akan menjadi satu perlawanan yang getir, pertarungan yang rumit dan kami akan cuba menyukarkan mereka."