Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, percaya Paul Pogba sekali lagi 'gembira' selepas memuji pemain tengah itu berikutan persembahan yang memastikan kemenangan pasukan ke atas Fulham.

Pogba meledak gol kemenangan United sekaligus kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-1 ke atas Fulham awal pagi tadi.

Edinson Cavani menafikan jaringan pembukaan Ademola Lookman pada minit kelima di London, di mana Pogba menampilkan aksi cemerlang untuk United.

Pogba melepaskan percubaan kaki kiri mengatasi penjaga gol Fulham, Alphonse Areola, pada minit ke-65 sekaligus melanjutkan rekod 17 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan dalam aksi EPL -- menyamai rekod paling panjang kelab yang dicipta pada 1999.

Masa depan Pogba mendominasi tajuk utama berita sejak ejennya, Mino Raiola, mendakwa pemenang Piala Dunia itu tidak gembira di Manchester selepas dikaitkan dengan Juventus, juara LaLiga, Real Madrid dan penyandang juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).


Tetapi ketika ditanya adakah Pogba kembali gembira di Old Trafford, Solskjaer memberitahu, "Saya ingin mengatakannya ya, dia menikmati bola sepaknya, dia gembira, dia sangat gembira secara mental, fizikalnya sangat baik. Dan kami mengetahui kemampuan yang dimilikinya. Hari ini, kami memutuskan untuk menurunkan Pogba di bahagian tengah, dan ia sangat berbaloi."

Sejak kembali ke kelab pada 2016, tidak ada pemain United yang menjaringkan lebih banyak gol liga daripada luar kotak berbanding Pogba (enam).

"Saya sangat gembira dengan persembahannya. Dia turun bermain di bahagian tengah tengah. Dia membuat beberapa larian yang baik ke dalam kotak juga, dia turut berusaha untuk mendapatkan bola daripada pemain lawan," kata Solskjaer.

"Dia awal dilayangkan kad kuning, di mana agak bahaya tetapi dia kekal berdisiplin dan memenangi bola untuk pasukan. Permainannya cukup sempurna dan kami mahu terus melihatnya beraksi sebegini."