SHAKHTAR DONETSK 0 REAL MADRID 5

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, berkata Vinicius Junior bermain penuh dengan keyakinan ketika menghasilkan gol luar biasa untuk mengetepikan Shakhtar Donetsk.


Juara Eropah 13 kali itu merangkul kemenangan 5-0 di Kiev, awal pagi tadi, untuk kemenangan terbesar mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL) sejak menewaskan Viktoria Plzen dengan rekod yang sama pada November 2018.

Vinicius menemui sasaran sebanyak dua kali yang menyaksikan gol bergandanya pada minit ke-56 itu disempurnakan menerusi sentuhan mengagumkan.

Hanya lima minit selepas menggandakan keunggulan pasukannya, pemain sayap itu menggelecek beberapa pertahanan dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan yang melewati penjaga gol Shakhtar, Anatolii Trubin.




Ancelotti lantas memberi memuji kepada pemain antarabangsa Brazil berusia 21 tahun itu yang memiliki tujuh gol musim ini, jumlah tertingginya bersama Los Blancos selama semusim.

Bagaimanapun, pengurus berpengalaman itu menegaskan pujian sebenar harus diberikan kepada seluruh pasukan kerana berjaya bangkit daripada kekalahan berturut-turut. Ia juga menjadi medan panas menjelang pertembungan 'El Clasico' dengan Barcelona, Ahad ini.

"Pasukan saya berkembang dengan cita-cita yang luar biasa, itulah sebabnya kami menghasilkan perlawanan yang sempurna," kata Ancelotti kepada wartawan selepas perlawanan.

"Selepas perlawanan terakhir, adalah sangat penting untuk kami bertindak balas dan kami melakukannya dengan baik. Kami melakukan apa yang kami janjikan.

"Vinicius benar-benar berjaya tetapi ia adalah usaha berpasukan untuk menghasilkan gol.

"Dia pemain muda, pemain hebat dalam pembikinan. Dia masih belajar dan dia dalam keyakinan tinggi ketika ini. Tetapi pujian istimewa yang saya mahu berikan adalah kepada seluruh pasukan."