Penjaga gol Manchester United, David de Gea, berkata setiap momen bekerja di bawah Ralf Rangnick merupakan sesuatu yang amat menegangkan sejak ketibaan pengurus berbangsa Jerman itu di Old Trafford.

Rangnick dilantik sebagai pengurus interim United bulan lalu selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer berikutan kekalahan 1-4 kepada Watford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gara-gara penularan kes koronavirus di kem The Red Devils, pasukan itu hanya dapat melalui tiga perlawanan bersama bekas pengendali Schalke dan RB Leipzig itu setakat ini: Dua kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace dan Norwich City dalam saingan liga selain terikat 1-1 dengan Young Boys dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kebanyakan pemain utama United telah kembali pulih daripada jangkitan COVID-19, yang sebelum ini menular sehingga pusat latihan mereka terpaksa ditutup minggu lalu, selain kepulangan pemain yang sebelum ini cedera -- Paul Pogba antaranya -- menjelang kunjungan ke laman Newcastle United awal pagi esok.

De Gea gembira apabila United akan sekali lagi dapat beraksi dengan kekuatan sebenar dan berharap sesi latihan keras yang dilalui mereka akan membuahkan hasil dalam perlawanan-perlawanan mendatang.



"Ia hebat. Ia bagus untuk mempunyai keseluruhan skuad berlatih bersama. Sudah pasti mereka semua sudah sihat," katanya kepada media United.

"Mereka sudah kembali, mereka sudah sihat, mereka baik-baik sahaja, jadi ia sesuatu yang hebat untuk kami kembali bersama.

"Kami berlatih dengan amat keras. Ia amat menegangkan dalam setiap sesi. Setiap momen bersamanya (Rangnick) amat menegangkan.

"Anda perlu memberikan 100 peratus dalam setiap sesi latihan dan perlawanan. Ini hanyalah permulaan. Ia baru beberapa minggu, jadi ayuh lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

"Pasukan ini berlatih dengan bertenaga, dengan rentak dan kini kami perlu membuktikannya dalam perlawanan besar," katanya.