SALERNITANA 0 NAPOLI 2

Napoli perlu memanfaatkan peluang mereka untuk memenangi Scudetto musim ini sebaik mencecah 50 mata selepas separuh perjalanan Serie A musim ini, kata ketua jurulatih pasukan itu, Luciano Spalletti.

Gol daripada Givanni Di Lorenzo dan Victor Osimhen membantu Napoli mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Salernitana dalam perlawanan Serie A awal pagi tadi untuk kini berkelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, AC Milan, menjelang kunjungan Rossoneri ke laman Lazio awal pagi Rabu ini.

Keputusan itu juga menyaksikan Napoli menjadi pasukan ketiga mencecah 50 mata dalam separuh pertama musim Serie A selepas Juventus (musim 2013-14 dan 2018-19) dan Inter Milan (musim 2006-07).

Tiada pasukan pernah gagal menjuarai Serie A selepas mengumpulkan 50 mata di peringkat itu dan ketua jurulatih, Spalletti, sedar Napoli berpeluang besar untuk menamatkan penantian gelaran liga pertama mereka sejak 1990.

"Kami sedar kami mempunyai peluang yang tidak selalu datang," katanya kepada DAZN selepas perlawanan itu.

"Kami tidak boleh mensia-siakan peluang yang kami ada. Kami perlu kekal rendah diri dan melakukan setiap perkara secara profesional."