CREMONESE 2 AS ROMA 1

Jose Mourinho mengugut bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadil keempat, Marco Serra, selepas jurulatih berbangsa Portugis itu dibuang padang ketika AS Roma tewas 1-2 kepada Cremonese dalam perlawanan Serie A di Stadio Giovanni Zini awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Mourinho itu melepaskan peluang untuk melonjak ke tangga kedua liga apabila gagal membawa pulang sebarang mata selepas Daniel Ciofani menjaringkan gol kemenangan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-83.

Mourinho diarahkan keluar padang oleh pengadil, Marco Piccinini, tidak lama selepas pasukannya ketinggalan 0-1 gara-gara pertelingkahannya dengan Serra di tepi padang.

"Saya beremosi tetapi tidak gila," katanya kepada DAZN.

"Mengenai sebab saya memberikan reaksi seperti itu, ada sesuatu yang berlaku terlebih dahulu. Saya akan mengkaji sama ada saya boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang atau tidak.

"Piccinini melayangkan kad merah kepada saya kerana malangnya pengadil keempat tidak memiliki kapasiti untuk memahami apa yang dikatakannya kepada saya.

"Saya akan mencari jika ada sebarang rakaman video. Saya tidak mahu memainkan sentimen bahawa Serra dari Turin dan kami akan menentang Juventus hujung minggu ini.

"Ia kali pertama dalam karier saya seorang pengadil keempat bercakap dengan cara yang amat di luar kebiasaan. Ia tidak wajar.

"Selepas perlawanan itu, saya pergi bercakap dengan mereka. Piccinini, yang merupakan pengadil keempat ketika saya dibuang padang sebelum ini, menyuruh saya untuk meminta maaf kepada Serra.

"Saya memberitahu Serra bahawa dia perlu berani menjelaskan apa yang berlaku tetapi dia mempunyai masalah memori," katanya.