BOLOGNA 1 JUVENTUS 1

Juventus terlepas peluang untuk menduduki tangga kedua Serie A selepas terikat 1-1 dengan Bologna di Stadio Renato Dall'Ara awal pagi tadi.

Pasukan di tangga kedua, Lazio, tewas 1-3 kepada Inter Milan dalam perlawanan lebih awal tetapi Riccardo Orsolini terlebih dahulu membuka jaringan buat Bologna menerusi sepakan penalti pada minit ke-10, sekali gus memberikan gambaran buruk bahawa Juve akan tewas buat kali keempat berturut-turut.

Kebimbangan itu semakin melarat apabila Arkadiusz Milik gagal menyudahkan peluang sepakan penalti pada minit ke-31 sebelum penyerang itu menebus kesilapannya.

Milik kemudian menemui jaringan penyamaan yang dicari-cari pasukannya selepas sejam perlawanan, sekali gus menafikan kemenangan pertama Bologna ke atas Bianconeri dalam saingan Serie A selepas 22 percubaan.

Dengan keputusan itu, Juve kekal berada di bawah Lazio dengan perbezaan satu mata tetapi pasukan gergasi Itali itu hanya dipisahkan tiga mata daripada dipintas tiga pasukan lain, iaitu Inter, AC Milan dan AS Roma.

Juve perlu berhati-hati memandangkan satu lagi kekalahan mungkin akan mengakibatkan mereka terlepas slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.