JUVENTUS 3 BOLOGNA 0

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, gembira dengan semangat mahu menang yang dipamerkan pasukannya ketika menewaskan Bologna 3-0 dalam saingan Serie A awal pagi tadi.

Dia berharap kemenangan itu akan memberikan mereka permulaan lebih baik selepas hanya mengumpulkan 13 mata daripada lapan perlawanan musim ini dan menduduki tangga ketujuh liga.

Dalam perlawanan di Stadium Allianz itu, Filip Kostic, Dusan Vlahovic dan Arkadiusz Milik, kesemuanya menemui sasaran, masing-masing pada minit ke-24, 59 dan 62.

"Saya menggemari semangat dan keampuhan pasukan ini melainkan pada penghujung separuh masa pertama, ketika ada beberapa kesilapan dalam gerakan serangan kami," katanya kepada DAZN.

"Kami sepatutnya memperlahankan rentak dan lebih menguasai bola.

"Sudah sebulan kami tidak menang, jadi ia sesuatu yang bagus untuk mendapatkan kemenangan yang selesa.

"Kini, kami perlu kekal rendah diri, perlu ingat bahawa perjalanan kami masih panjang dan apa yang lebih penting, kami perlu kembali ke landasan yang betul dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Ia persembahan yang bagus, saya memberitahu pemain bahawa mereka ada keinginan untuk membuktikan diri dan mencuba bersungguh-sungguh tetapi ia boleh menjadi tidak produktif.

"Kami memerlukan kesabaran dan fokus untuk membina prestasi dan mendapatkan hasilnya," katanya.