Milan menyambar khidmat pertahanan Barcelona, ​​Sergino Dest, dengan pinjaman sepanjang musim sambil memiliki pilihan €20 juta (RM89.3j) untuk mengekalkannya.

Bintang Amerika Syarikat (AS) itu meninggalkan Camp Nou selepas dua kempen dengan mengutip trofi Copa del Rey 2021 di bawah kendalian Ronald Koeman.

Begitupun, dia gagal menambat hati Xavi dan masalah hamstring berturut-turut juga menghalang perkembangan pemain berusia 21 tahun itu pada musim lalu.

Pemain serba boleh itu sanggup beralih ke San Siro demi mendapatkan minit permainan menjelang Piala Dunia Qatar, November depan.




Dia akan menjadi rekrut kedua Milan pada hari tarikh akhir perpindahan musim panas ini selepas juara bertahan Serie A itu berhasil memancing Aster Kranckx daripada Wolfsburg - juga secara pinjaman dengan pilihan untuk membelinya.

Pemain muda antarabangsa Belgium itu berpindah ke pasukan Bundesliga pada 2020 daripada KV Mechelen dan termasuk Dest, Milan sudah membuat tujuh pembelian.

Juara bertahan itu belum tewas dalam empat perlawanan pembukaan untuk mengutip lapan mata dan bakal berdepan musuh ketat Inter, tengah malam esok.