PSG 2 ANGERS 1

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, memahami kekecewaan Angers selepas penalti lewat kontroversi memberikan kemenangan 2-1 kepada pendahulu Ligue 1 itu.


PSG ketinggalan berikutan gol pembukaan Angelo Fulgini pada minit ke-36 sebelum tandukan Danilo Pereira -- percubaan tepat pertama tuan rumah -- menyamakan kedudukan perlawanan awal pagi tadi itu.

Ketika kedua-dua pasukan berkenaan tampak terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata, PSG sebaliknya dihadiahkan sepakan penalti selepas pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan Pierrick Capelle.

Kylian Mbappe menyempurnakan tugasan dari jarak 12 ela itu pada minit ke-87, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati daripada pihak Angers.

Romain Thomas berasakan dia telah dikasari oleh seorang lagi penyerang PSG, Mauro Icardi, sebelum hukuman tersebut.

Dia memberitahu Prime Video: "Apa yang berlaku sangat luar biasa.

"Kami akhirnya tewas 1-2, kekalahan di sini tidak memalukan tetapi bukan dengan cara sebegini.

"Kami bekerja keras sepanjang minggu lalu untuk melakukan sesuatu dengan tepat tetapi tidak bagi pengadil.

"VAR, saya mula bosan dengan perkara ini. Menempatkan peralatan yang bernilai jutaan tetapi mereka tidak tahu menggunakannya, ini merupakan satu gangguan kerana saya seorang yang bersemangat, saya berdedikasi.

"Dia (Icardi) terlebih dahulu menarik lengan saya, lalu saya terjatuh dan kemudian dia berada posisi itu untuk memenangi sepakan penalti. Oleh itu, saya kecewa."





Ditanya mengenai rungutan Angers itu, Pochettino berkata: "Sukar untuk mengulasnya. Saya belum melihat rakaman insiden berkenaan. Saya tidak dapat melihatnya dengan jelas sama ada ia terkena tangan, sepakan penalti mahupun pelanggaran ... Saya tidak pasti.

"Saya memahami perasaan Angers. Saya sendiri sering menempuhi situasi sebegini apabila keputusan tidak begitu memihak kami. Tetapi inilah hakikat perlawanan ini."

PSG telah memenangi 24 perlawanan Ligue 1 di bawah era Pochettino sejak Januari 2021 (S2 K5) -- sekurang-kurangnya empat kemenagan lebih banyak daripada pasukan lain sepanjang tempoh ini.