Kedudukan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baru badan induk negara tidak tergugat biarpun ura-ura bahawa salah satu ahli gabungannya bertindak mengangkat kaki meninggalkan mereka.

Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata bahawa dia tidak gentar dengan perkara itu kerana mereka sememangnya diiktiraf Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF)sebagai badan peneraju tunggal sukan berkenaan di Malaysia.

"Kehadiran ahli gabungan untuk EGM kami cukup, separuh daripada jumlah ahli.

"Perwakilan kami ada tiga orang setiap negeri, ada enam negeri jadi 18 orang (kesemuanya).

"Ada sembilan perwakilan (yang hadir dalam EGM ini) sudah cukup, tadi ada 15 orang," katanya.




Difahamkan, Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) tidak hadir dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang berlangsung semalam.

"Isunya siapakah pengelola dalam negara ini, ke manakah mereka mahu pergi?

"Tidak mungkin mereka sertai semula PSM, tidak mungkin keluar masuk.

"Ini mungkin melibatkan individu. Dalam kelulusan (penubuhan) MSC pun, kami diminta untuk membawa masuk persatuan-persatuan yang sedia ada.

"Setelah sekian lama memujuk mereka, jemput 2-3 kali pun masih tidak sertai kami, saya cadang minta kelulusan untuk bubarkan penaja di setiap negeri.

"Saya langsung tidak risau, yang lain-lain (berpendirian teguh), faham.

"MSC dapat kelulusan daripada ASTAF dan ISTAF yang sangat kuat, sangat kuat," katanya.