Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, melabel pasukannya sebagai 'underdog' menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia, malam esok.

Menurut Cheng Hoe, ia kerana skuad kendalian K Devan itu mempunyai beberapa pemain import yang mampu menjaringkan gol selain memiliki barisan pertahanan yang kental.

Justeru, dia berharap aksi pertama di laman sendiri akan digunakan sebaiknya untuk memperoleh jaringan sebagai bekalan dalam aksi timbal balik kedua di Stadium Paroi.

“Menentang Negeri Sembilan saya anggap kami adalah pasukan 'underdog' kerana mereka lebih kuat. Mereka mempunyai pemain import dan lokal yang hebat selain memiliki barisan pertahanan kental.





“Bagaimanapun, kami akan mengambil peluang bermain di laman sendiri dengan sebaiknya bagi mendapatkan jaringan sebagai bekalan pada aksi kedua sekali gus menaikkan moral para pemain Selangor,“ katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mengakui bahawa skuad Hobin Jang Hobin itu memiliki kemampuan 'set pieces' yang sangat baik serta mampu mendatangkan bahaya kepada pasukan lawan.

Justeru, dia menasihati pemainnya agar mengawasi setiap pergerakan pemain lawan bagi menidakkan peluang kem pelawat yang boleh terhasil melalui 'set pieces' dan sepakan penjuru berdekatan pintu gol Gergasi Merah.

“Dalam bola sepak kita tidak boleh mengelakkan pasukan lawan untuk tidak mendapatkan 'set pieces'.

“Namun, kami harus mengelakkan kesalahan di hadapan gol serta sepakan penjuru. Dari segi taktikal, kami perlu mengawasi setiap pergerakan mereka,” katanya.



Kredit: Sinar Harian