Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, tidak menafikan spekulasi mengaitkan pasukan itu dengan pemain tengah Terengganu FC, Faisal Halim.

Dalam satu temu bual bersama Wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, dia berkata: "Saya rasa kita dapat lihat impaknya dalam skuad negara, dan seperti yang kita tahu, Faisal Halim akan membawa impak yang besar buat mana-mana pasukan.

"Dia merupakan antara watak utama yang membawa kepada pencapaian Terengganu musim ini.

"Saya yakin mana-mana pasukan sahaja yang dia pergi, dia akan memberikan impak yang sama," katanya.

Selain Faisal, nama dua pemain Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi dan Khuzaimi Pie, turut dikaitkan dengan pasukan Gergasi Merah itu dan mengulas mengenai perkara berkenaan, Dr. Johan menambah: "Mereka pemain yang baik dan saya fikir semua kelab akan mencuba sedaya-upaya untuk mendapatkan pemain terbaik.

"Selangor juga antara pasukan yang akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan yang terbaik buat pasukan.

"Insya-Allah, dengan kepimpinan jurulatih Tan Cheng Hoe, kita akan melihat susun atur pasukannya bagi musim depan," katanya.