Menjelang perlawanan penting menentang Tottenham Hotspur esok, Manchester City berhadapan satu dilema yang mungkin tidak pernah mereka hadapi -- haruskah sistem permainan yang telah lama dibentuk dan digilap diubah demi membolehkan penyerang utama mereka bersinar sepenuhnya?

Setelah berehat lebih sebulan sewaktu Piala Dunia di Qatar, Erling Haaland diramalkan bakal kembali dengan lebih berbahaya dan terus membolosi jaring dalam setiap perlawanan.

Malangnya, setelah menjaringkan gol menentang Everton pada tanggal 31 Disember lalu, sudah empat perlawanan berlangsung tanpa nama Haaland tercatat dalam senarai penjaring.

Sewaktu kekalahan kepada Manchester United hujung minggu lalu, Haaland dilihat bergelut untuk mendapatkan bola sehingga terpaksa berundur jauh dari barisan pertahanan lawan, sedangkan dia sudah terbiasa untuk menanti sahaja di kawasan berhampiran kotak penalti dan memanfaatkan peluang yang dihidangkan.

Sepanjang 90 minit, larian demi larian Haaland lakukan bagi memperdayakan pemain-pemain United tetapi hantaran bola tidak kunjung tiba.

"Kami ada gaya dan prinsip tersendiri tetapi cara permainan kami dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini tidak membantu Haaland untuk menjaringkan gol," ujar pengurus City, Pep Guardiola, dalam temu bual bersama BBC.

Guardiola mengakui bahawa kemarau gol Haaland sememangnya merupakan kesalahan beliau sebagai pengurus kerana gagal membuatkan pemain-pemainnya faham akan cara serangan yang dia mahukan.

Menyebut tentang topik cara serangan ini, pengurus pasukan kebangsaan Sweden, Lars Lagerback, yang pernah mengendalikan Haaland bertahun-tahun dulu memberikan pendapatnya dalam temu bual lain bersama The Daily Mail.

Menurutnya, antara cabaran terbesar seorang pengurus adalah menentukan siapakah yang harus beradaptasi.

Dalam kebanyakan perkara, pemainlah yang patut beralah dan menerima falsafah yang ditentukan oleh pengurus mereka, apatah lagi apabila melibatkan pengurus disegani seperti Guardiola.



Namun, pemain seperti Haaland adalah satu dalam seribu, tidak ada pemain lain sepertinya yang pernah menggegarkan Liga Perdana Inggeris dalam musim pertamanya beraksi.

Haaland adalah kunci menjaringkan gol dan gol adalah kunci kejayaan, ia semudah itu.

Tambah Lagerback lagi, cara paling efektif untuk menggunakan sepenuhnya kekuatan Haaland adalah dengan gaya permainan yang menumpukan kepada hantaran tajam.

Apabila pemain memperoleh bola, apa yang sepatutnya terlintas di fikiran mereka adalah "Di manakah Haaland berada?", dan membina rentak berdasarkan posisi penyerang itu.

Masalahnya adalah prinsip ini bertentangan dengan gaya City yang mencintai 'possession football', gaya permainan yang mengetengahkan hantaran demi hantaran sesama pemain sebelum serangan mutlak dilancarkan.

Malangnya, biarpun City cukup mantap dalam segala aspek dan gaya permainan sebegini telah mereka kuasai sepenuhnya, ia adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa pihak lawan mereka turut sama mampu beradaptasi dan tahu akan titik-titik kelemahan strategi City itu.

Prinsip paling mudah adalah dengan menyekat Kevin De Bruyne yang merupakan pembekal kebanyakan hantaran yang menjurus kepada gol-gol jaringan Haaland, dan dilihat semakin banyak pasukan menggunakan strategi lima pemain pertahanan demi mencapai tujuan itu apabila berhadapan dengan City.

Sudah tiba masanya untuk Guardiola mengambil risiko dan keluar dari zon selesa -- demi Haaland, demi mengejar Arsenal, juga demi mengelakkan City terjerumus dalam bahaya yang lebih besar daripada sedia ada.