Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, melantik pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, sebagai salah seorang daripada tiga kapten skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Raja Thailand edisi ke-48 minggu depan.

Dua lagi nama yang turut tersenarai sebagai ketua pasukan ialah penyerang sensasi, Syafiq Ahmad dan pemain kelab FK Jablonec, Dion Cools selepas memainkan peranan cukup penting buat skuad Harimau Malaya sejak mewakili negara pada tahun lalu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Syafiq dan Dion sebelum ini bersama-sama penjaga gol, Farizal Marlias dan Safiq Rahim merupakan empat kapten Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu.

Ketiadaan Farizal dan Safiq bagi kem latihan pusat kali ini, Safawi telah dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan tiga kapten Harimau Malaya untuk ke Chiang Mai.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Thailand pada aksi pertama di Stadium Chiang Mai pada 22 September ini.

Satu lagi perlawanan menyaksikan skuad Trinidad & Tobago berdepan Tajikistan di venue dan tarikh yang sama.

Jika berjaya menewaskan Thailand, skuad negara bakal mara ke pentas final dan sekiranya tewas, skuad negara bakal beraksi bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.