Pemain sayap negara, Safawi Rasid, berharap penghijrahannya ke kelab Thailand, Ratchaburi FC, dapat menjadi medan kebangkitan buat kariernya selepas sukar untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini.

Dengan akan menyertai kelab berkenaan secara pinjaman, pemain berusia 25 tahun itu turut mendedahkan bahawa dia akan menangguhkan tempoh berbulan madunya demi tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya dalam Piala AFF bermula 20 Disember ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Safawi berkata: "Alhamdulillah, walaupun saya jarang dapat bermain, seluruh rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan sentiasa menyokong saya dalam situasi permainan.

"Pada usia saya yang sudah 25 tahun, saya sememangnya memerlukan minit permainan.

"Walaupun selepas tamat tempoh pinjaman saya bersama Ratchaburi, saya mahu mencari sebuah pasukan yang betul-betul memerlukan saya.

"Saya sudah tidak mahu duduk di bangku simpanan, saya mahu bermain," katanya.

Safawi mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, atau lebih dikenali sebagai Syifa Melvin, pada 28 November lalu.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa menunda bulan madu mereka berikutan tugasan kebangsaan yang perlu dipikul Safawi dalam Piala AFF.

"Sebagai isteri, dia sentiasa memberikan sokongan di mana jua saya berada.

"Syifa sentiasa berada di belakang saya, jadi tiada apa-apa masalah," katanya lagi.