Inter tidak boleh bergantung kepada rangkaian serangan yang dijana Romelu Lukaku, Paulo Dybala dan Lautaro Martinez kerana ia hanya akan membuat pertahanan pasukan asuhan Simone Inzaghi itu terdedah.

Mesej itu disampai legenda Milan, Arrigo Sacchi, yang membandingkan strategi berkenaan dengan percaturan Real Madrid pada awal 2000-an apabila mereka mengumpulkan pasukan penyerang handalan.

Barisan Los Blancos itu terdiri daripada David Beckham, Ronaldo Nazario, Raul, Luis Figo dan Zinedine Zidane tetapi mereka mengharungi enam musim berturut-turut tanpa memenangi perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) di antara 2004 dan 2010.

Inter mengintai untuk menyingkirkan musuh setempat, Milan, di puncak Serie A musim depan dengan Inzaghi akan cuba membawa semula Lukaku secara pinjaman daripada Chelsea, manakala Dybala tampaknya bersedia untuk menyertai Nerazzurri secara percuma.

Lukaku membantu Inter menjulang Scudetto pada 2020-21 dan sepanjang tempoh dua tahun di Itali, tiada pemain Nerazzurri lain yang mampu menjaringkan lebih banyak gol (64), mencipta lebih banyak bantuan jaringan (17) mahupun membuka peluang terbuka (133) setingginya dalam semua pertandingan.

Martinez selesa menjadi penjaring terbanyak Inter dalam kempen liga dengan catatan 21 gol -- lapan jaringan mengatasi rakan sepasukan, Edin Dzeko, sementara Dybala mencetak gol liga terbanyak buat Juventus (10).

Gabungan mereka bertiga boleh menambah sengat di jentera serangan skuad bimbingan Inzaghi itu, tetapi Sacchi menegaskan Inter harus menumpukan kepada aspek keseimbangan berbanding menjurus kepada serangan.

"Anda tidak membentuk sebuah pasukan dengan patung," katanya kepada Gazzetta dello Sport.



"Saya berada di Real Madrid sebagai pengarah bola sepak (pada 2004-05) dan mereka pernah meminta saya untuk menguruskan skuad. Adakah anda tahu barisan serangan yang mereka miliki?

"Beckham, Raul, Ronaldo, Zidane, Figo. Di bangku simpanan, kami turut mempunyai Fernando Morientes dan Michael Owen. Ia bukan sebuah pasukan, ia sebuah filem tetapi ia tidak mempunyai plot.

"Jadi saya berterima kasih kepada presiden tetapi berkata tidak. Untuk melindungi pertahanan, kami memerlukan dua pertahanan dengan jaket kalis peluru. Pasukan sentiasa memerlukan keseimbangan."

Sacchi juga percaya Lukaku, Martinez dan Dybala tidak akan sanggup melakukan kerja bertahan bagi meringankan beban benteng mereka.

"Anda memerlukan pasukan yang sentiasa aktif -- baik ketika menyerang dan bertahan. Anda perlu bergerak, mengambil bahagian dan bermain secara sepasukan," tambahnya.

"Kemudian anda perlu cuba memenangi semula bola dengan segera sebaik pihak lawan memilikinya. Jika anda membiarkan tiga pemain di kawasan lawan, ini bermakna hanya ada lapan pemain di bahagian pertahanan berbanding 11 orang.

"Kesanggupan dan ciri fizikal pemain adalah asas. Saya tidak percaya dengan pendekatan ini tetapi saya juga boleh tersilap menduga kerana Lukaku, Martinez dan Dybala mungkin mempunyai kualiti sedemikian."