Perbincangan perjanjian baru di antara Ousmane Dembele dan Barcelona tidak begitu lancar seperti yang diharapkan, menurut presiden kelab itu, Joan Laporta.

Dembele, yang dibeli daripada Borussia Dortmund pada 2017, akan tamat kontrak pada akhir musim ini dan telah dikaitkan dengan perpindahan pada bulan depan.

Laporan terbaru dari Sepanyol mencadangkan ejen pemain antarabangsa Perancis itu, Moussa Sissoko, bersedia untuk mendengar sebarang tawaran luar selepas tidak berpuas hati dengan kontrak lanjutan di Camp Nou itu.

Pemain berusia 24 tahun itu boleh mula membincangkan soal perpindahan percuma dengan kelab luar mulai bulan depan jika terma baru gagal dimuktamadkan dengan Barca, tetapi Laporta berharap rundingan berkenaan mampu mencapai kesepakatan.

"Rundingannya berjalan lebih perlahan daripada yang kami harapkan," katanya kepada TV3.

"Kami sedang mengusahakannya, kami akan teruskan usaha."

Dembele kerap dibelenggu masalah kecergasan tetapi kekal sebagai pemain utama buat gergasi Catalan itu apabila cergas untuk diturunkan.

Dia telah menghasilkan 30 gol dan 20 bantuan jaringan dalam 121 penampilan sejak kemunculan sulungnya pada September 2017, ini bermakna dia telah terlibat secara langsung dalam 0.65 gol pada setiap 90 minit.

Statistik itu meletakkannya setaraf dengan Roberto Firmino di Liverpool dalam kalangan pemain lima liga utama Eropah untuk berada di belakang pemain Inter, Lautaro Martinez (0.67).






Bagaimanapun, pembabitannya dalam 121 perlawanan untuk Barca adalah kurang 91 perlawanan berbanding rakan sepasukan, Sergio Busquets, dalam tempoh yang sama.

Lantas, Laporta teruja dengan apa yang masih mampu ditawarkan Dembele sekiranya kontrak baru dipersetujui.

"Kami tidak boleh mengabaikan isu tangga gaji. Kami perlu menurunkan gaji terlebih dahulu dan satu-satu caranya adalah menyisihkan beberapa pemain," kata Laporta.

"Xavi mengenali pemain yang dimilikinya dan kerap berkomunikasi dengan Pengarah Bola Sepak, Mateu Alemany, pengarah besar kami dan orang yang kami percayai.

“Sekiranya ia mampu membantu kami mengukuhkan pasukan, maka kami akan lihat segala kemungkinan yang ada.

“Xavi mempunyai ramai pemain dan kami yakin dia akan memperoleh lebih banyak manfaatnya.

"Kami yakin Xavi mempunyai kemampuan untuk menjadikan skuad ini lebih cekap daripada sedia ada."

Barca yang belum tewas dalam tiga perlawanan di bawah kendalian Xavi akan kembali beraksi di tempat sendiri menentang Real Betis dalam pertemuan LaLiga, malam esok.