Pengerusi Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, berterima kasih kepada Bundesliga yang mengambil keputusan untuk meneruskan saingan selepas kerajaan Jerman memberikan lampu hijau untuk menerusi saingan bermula pertengahan bulan Mei.

Bundesliga telah ditangguh sejak dua bulan lalu ekoran penularan wabak koronavirus.

Bagaimanapun, ia telah diputuskan semalam bahawa saingan dapat diteruskan bulan ini, dengan memastikan rancangan kebersihan yang ketat diikuti.

Tarikh rasmi saingan bersambung akan ditentukan oleh Liga Bolasepak Jerman (DFL).

Bayern mendahului Bundesliga dengan berkelebihan empat mata ketika berbaki sembilan perlawanan dan Rummenigge gembira setiap pasukan dapat menamatkan baki saingan musim ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli politik atas keputusan hari ini, yang membolehkan musim Bundesliga dimainkan hingga akhir.

"Kami kini menantikan saat untuk meneruskan saingan, idealnya bermula pertengahan Mei ini.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada DFL serta Pasukan Petugas Perubatan yang mengeluarkan plan kesihatan yang perlu dipatuhi.

"Saya meminta semua orang yang terlibat untuk mengikuti panduan yang ditetapkan, di mana ia merupakan asas kembalinya saingan bola sepak."
Youtube Embed