Wayne Rooney menolak temu duga jawatan pengurus di Everton demi memberi komitmen kepada Derby County untuk kekal dalam Liga Kejuaraan.

Bekas kapten Manchester United dan England itu mendedahkan kelab zaman kanak-kanaknya berkenaan telah cuba bertanya melalui ejennya bagi membincangkan prospek mengambil alih jawatan di Goodison Park.

The Toffees -- yang memecat Rafael Benitez dua minggu lalu selepas lebih enam bulan dilantik -- masih belum menamakan pengurus tetap.

Walaupun Rooney yakin mampu menempa kejayaan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada suatu hari nanti, dia mengambil 'keputusan sukar' untuk menolak perbincangan dengan Everton kerana berhasrat membantu Derby mengelak penyingkiran ke divisyen ketiga.

"Everton mendekati ejen saya dan mahu saya menjalani temu duga untuk kerja kosong itu, tapi saya menolaknya," katanya.

“Mereka telah menghubungi ejen saya, ejen saya juga memberitahu pihak atasan dan ya, sudah tentu ia adalah keputusan yang sukar bagi saya (untuk menolaknya).

"Saya percaya lambat-laun saya akan menjadi pengurus kelab EPL. Saya percaya saya sudah bersedia untuk itu, 100 peratus. Dan jika itu berlaku bersama Everton pada suatu hari nanti, ia pasti hebat. Tetapi saya mempunyai misi di Derby County, ia merupakan tugas penting buat saya."




Rooney -- yang mengasah bakatnya melalui akademi Everton dan menyertai semula kelab itu pada 2017 selepas 15 tahun di United -- pada mulanya mengambil peranan sebagai pemain merangkap jurulatih di Derby selepas Phillip Cocu dipecat pada November 2020 selain menduduki tempat tercorot.

Dia menggantung but dan beralih kepada pengurus tetap pada Januari tahun lalu dan memastikan mereka mengekalkan tempat dalam saingan itu pada hari terakhir.

Derby dipotong 21 mata pada musim ini berikutan disiasat pentadbiran dan mengakui melanggar peraturan perakaunan EPL.

Di sebalik masa depan yang tidak menentu, barisan bimbingan Rooney cemerlang dengan lapan kemenangan dan 11 seri daripada 27 perlawanan untuk lapan mata menjauhi zon penyingkiran.