Barcelona mengesahkan bahawa pertahannya, Ronald Araujo, perlu menjalani pembedahan selepas mengalami letak tulang tangan sewaktu menewaskan Linares Deportivo dalam saingan Copa del Rey awal pagi semalam.

Araujo dikeluarkan pada waktu rehat ketika Barca bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas lawan daripada liga divisyen tiga berkenaan tetapi dia kemudian dilihat memakai anduh di lengannya.

Pemain kebangsaan Uruguay itu dilaporkan perlu menjalani pembedahan hari ini, sekali gus dijangka terpaksa berehat sekitar dua hingga empat minggu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Barca malam tadi berkata: "Pemain pasukan utama, Ronald Araujo, mengalami keretakan di tulang metacarpal pertama dan ketiga di tangan kanannya.

"Doktor Xavier Mir akan menjalankan satu pembedahan esok di bawah penyeliaan khidmat perubatan kelab ini.

"Perkembangan terkini akan diberikan selepas pembedahan itu selesai."

Araujo telah beraksi dalam 21 daripada keseluruhan 26 perlawanan Barca musim ini.

Hanya lima rakan sepasukannya diturunkan lebih kerap berbanding pemain berusia 22 tahun itu dengan Gerard Pique merupakan satu-satunya pertahanan dalam senarai berkenaan.